Galeri




Pelbagai Kemudahan
Kampung paya Rumput boleh dianggap bertuah kerana memiliki segala kemudahan asas yang cukup dan sempurna. Hal ini kerana kemudahan asas dan awam penting untuk keselesaan penduduk Kampung ini dilengkapi dengan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, dan talian telefon yang sangat baik. Kemudahan jalan berturap juga disediakan bagi memudahkan penduduk untuk bergerak dan berhubung dengan dunia luar. Selain itu, kampung ini turut menyediakan kemudahan awam yang lain dan antaranya ialah masjid, sekolah, dewan serbaguna, padang dan sebagainya untuk kemudahan penduduk. Kemudahan ini juga bagi memastikan kebajikan setiap penghuni kampong ini dipenuhi.



Sihat, cergas dan selamat
Bagi aktiviti beriadah, penduduk Kampung Paya Rumput akan menggunakan sebuah padang yang terdapat di Sekolah Kebangsaan Paya Rumput. Padang ini menjadi tumpuan segala aktiviti sukan penduduk kampong. Memandangkan bola sepak adalah antara sukan yang paling diminati oleh penduduk kampong, maka hamper setiap hari padang ini dipenuhi oleh golongan belia untuk bermain bola sepak dan meluangkan masa bersama-sama.



Masyarakat Sihat dan Berkualiti
Klinik Desa Kampung Paya Rumput yang terletak di tengah-tengah kawasan kampong antara lain bertujuan untuk membantu penduduk mencapai tahap kesihatan yang optimum. Kemudahan yang disediakan ialah perkhidmatan Ibu Bersalin, Perubatan Kanak-Kanak, Pesakit luar, dan Perubatan Am kepada penduduk sekitar.
Selain itu prerkhidmatan bidang kerajaan juga disediakan kepada penduduk dengan menyediakan rawatan dari rumah ke rumah bagi penduduk yang tidak dapat hadir ke klinik. Klinik ini beroperasi dari pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada hari isnin hingga jumaat.



Terjamin dan Selamat
Aspek Keselamatan merupakan elemen terpenting dalam mewujudkan sebuah kawasan penempatan yang aman dan harmoni. Oleh kerana itu, tidak hairanlah terdapat sebuah pasukan RELA Kampung Paya Rumput yang terdiri daripada kira-kira 20 orang ahli. Kehadiran pasukan RELA ini secara tidak langsung dapat membantu menjaga keselamatan kampung dengan aktiviti rondaan yang sering dijalankan pada waktu malam secara berkala.
Bagi kes-kes yang melibatkan jenayah berat atau memerlukan penyeliaan pasukan polis maka, Balai polis Tanjung Minyak yang terletak kira-kira 3 kilometer dari Kampung Paya Rumput akan dirujuk oleh penduduk kampung.



Ternakan Kambing
Permintaan terhadap daging kambing yang sangat tinggi telah menarik minat ramai usahawan untuk menceburkan diri dalam bidang ternakannya dan salah seorangnya ialah Borhan Ali. Beliau yang bermula sejak tahun 2007 berkata, pada peringkat  permulaan beliau hanya memiliki 30 ekor kambing namun kini jumlah ternakannya bertambah kepada lebih 160 ekor. Kambing dari jenis Kajang dan Janapari ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi memudahkan beliau untuk menternak kambing-kambing ini.
Menurut Borhan pembinaan kandang kambingnya yang berhampiran dengan kampung tidak mendatangkan masalah untuk mencari makanan untuk ternakannya. Ini kerana terdapat pelbagai rumput berhampiran kandang kambing ini serta beliau memberi makanan secara feedlot kepada kambing-kambingnya. Hasil ternakan kambing ini akan dijual kepada orang perseorangan serta pemborong dan hasil jualan akan bertambah apabila tiba musim perayaan.



Ilmu Pelita Hidup
Dalam usaha Negara mencapai status Negara maju, pelbagai program dijalankan untuk merealisasikan hasrat ini. Pendidikan merupakan elemen yang penting dan perlu dititikberatkan seawall usia muda. Maka, kewujudan institusi-institusi pendidikan tidak menghairankan. Begitu juga halnya dengan Kampung Paya Rumput. Sekolah-sekolah diwujudkan untuk memperkasakan pengetahuan pelajar di usia muda lagi.
Antara sekolah yang terdapat di kampong ini ialah Sekolah Kebangsaan Paya Rumput dan Tadika Kemas. Selain itu terdapat juga sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan Cina dan India di kampung ini. Kebanyakan penduduk kampung bersekolah di sekolah-sekolah ini sama ada di peringkat rendah mahupun menengah. Selain itu, penduduk kampung ini telah menunjukkan pencapaian akademik yang semakin baik dan memberangsangkan.


Pantai Puteri
Terletak kira-kira tiga kilometre dari Kampung Paya Rumput dan 12 kolimeter dari Bandaraya Melaka, pusat pelancongan Pantai Puteri merupakan salah satu lokasi tumpuan orang ramai ketika hujung minggu ataupun musim cuti persekolahan. Menurut pembantu perpustakaan Desa (PD) Kampung Paya Rumput, Norhafizah Muyidin, Pantai puteri kini menjadi lokasi penduduk kampung bersiar-siar pada waktu petang sambil meluangkan masa untuk beriadah bersama ahli keluarga. Pelbagai kemudahan disediakan seperti tapak perkhemahan, medan makan dan tandas awam untuk keselesaan pengunjung. Pantai Puteri juga sesuai untuk dijadikan lokasi pertandingan memancing, bola sepak pantai dan pertandingan perahu layar malah menjadi salah satu lokasi yang strategic untuk mengadakan sambutan hari keluarga.
Tahun 2010 merupakan kali ke-10 Pantai Puteri terpilih sebagai tuan rumah dan gelanggang pertama sempena Karnival Pra-GP Joran 2010 anjuran Berita Harian. Secara tidak langsung acara yang berprestij seumpama ini telah mengangkat nama Pantai Puteri dan Negeri Melaka khususnya dalam sector pelancongan. Berbekalkan pelbagai kemudahan kemudahan dan infrastruktur yang tersedia di sini. Pantai Puteri sentiasa menyambut kedatangan pelancong dengan pemandangan pantai yang indah dan menakjubkan. Ditambah lagi dengan tersedianya beberapa chalet dan hotel yang terletak berdekatan dengan lokasi pantai untuk kemudahan pelancong bermalam. Malah, jika bertandang ke sini jangan lepaskan peluang untuk menjamu selera dengan memilih untuk makan di gerai-gerai makanan yang berhampiran kerana terdapat banyak gerai yang menawarkan pelbagai menu menyelerakan.


Hutan Rekreasi Sungai Udang
Lebih kurang 10 kilometer dari Kampung Paya Rumput dan 28 kilometer dari Bandar Melaka, terdapat sebuah kawasan rekreasi yang dikenali dengan nama Hutan Rekreasi Sungai Udang. Kawasan rekreasi ini berkeluasan 103 hektar dan terletak dalam Hutan Simpan Sungai Udang yang merupakan jenis Hutan Dipterokarp Pamah. Keindahan persekitarannya yang menghijau dan tenang merupakan salah satu tarikan utama kepada para pengunjung. Malah, kawasan ini juga sesuai untuk mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga tersayang seperti berkhemah, merentasi denai hutan dan berkelah. Selain menggunakan kenderaan sendiri untuk sampai ke sini, terdapat kemudahan pengangkutan awam seperti bas dan teksi dari Pekan Sungai Udang yang terletak hanya satu kilometre dari Hutan Rekreasi Sungai Udang.
Selain mempunyai kolam yang luas, hutan rekreasi ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas untuk kegunaan pengunjung seperti pondok rehat, taman permainan, surau, tandas, dewan serba guna dan tempat letak kenderaan. Selain itu turut disediakan laluan pejalan kaki yang boleh digunakan oleh pengunjung untuk berjoging ataupun bersiar-siar sambil melihat keindahan alam yang tenang dan mendamaikan. Dengan adanya kemudahan seperti ini mendorong lebih ramai pengunjung untuk datang dan menikmati udara segar dan nyaman di sekitar kawasan rekreasi ini.
Bukan itu sahaja, antara keistimewaan lain yang ada di sini ialah terdapatnya pelbagai jenis pokok hutanyang hamper pupus selain tanaman herba yang mempunyai kira-kira 200 jenis herba. Sesungguhnya kunjungan ke hutan rekreasi ini menjanjikan pengalaman yang luar biasa kerana pengunjung berpeluang menikmati pemandangan hutan yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna serta sesuai untuk aktiviti berbentuk pembelanjaran. Demi menggalakkan lebih ramai pengunjung datang dan mengadakan aktiviti di sini, turut disediakan tapak perkhemahan, dewan serbaguna, padang, astaka, dan balai memasak. Namun bayaran akan dikenakan kepada mereka yang ingin menggunakan kemudahan ini untuk menganjurkan program perkhemahan ataupun kursus.

No comments: